Bingkisan hati buat gadis solehah yang mendambakan syurga

Friday, 13 May 2016

Tribute Buat Ibu

Tatkala pulang dari pengajian kuliah setelah sekian lama tidak melihat kampung halaman, sampai sahaja di muka pintu rumah, salam dilaung lantas menjerit kuat, "Ibuuuuu, saya dah sampai". Kaki terus berlalari-lari anak mencari ibu disekeliling rumah. Menjenguk di dapur, tidak kelihatan. Melangkah pula ke kebun kesayangan ibu, juga tiada. Lalu, dengan wajah hampa, pintu kamar tidur milik adik diketuk perlahan, lantas bertanya, "Ibu mana dik?"

Persoalannya, mengapa tidak di sapa ayah atau kakak, atau juga ahli keluarga yang dilihat pertama? Jawapannya mudah, ada di sini. Di mana? Di hati kita sebagai anak yang cukup dekat talian spiritualnya dengan insan bergelar ibu.

Bagi memanfaatkan masa yang dianugerah Tuhan, waktu senggang sebegini, mata rajin pula merenung satu persatu hasil sastera yang berada di atas rak kecil milik ayah. Buku berkaitan Politik dan Hubungan Antarabangsa dicapai lalu dibelek-belek. "Menarik!", bisik hati kecil. Kajian terperinci mengenai peristiwa 9/11 dibaca perlahan-lahan, cuba mentafsir kesahihan fakta hasil sastera milik penulis negara Timur Tengah. Telefon pintar berada dekat, dicapai, lalu dilakukan sedikit carian ilmiah bagi membandingkan pendapat tokoh-tokoh dan pengkaji antarabangsa yang lain mengenai isu yang sama.

Tiba-tiba WhatsApp Group milik keluarga besar ayahanda berbunyi menghantar pesanan-pesanan bersempena dengan Hari Ibu buat nenda dan ahli keluarga yang bergelar ibu. Mata yang tadinya asyik membaca pesanan balas ahli keluarga, kemudian beralih melihat susuk tubuh ibu yang sedang berehat sambil menonton ceramah perdana di televisyen. Mata ibu semakin lama semakin kecil. Sekejap lagi pasti ibu lena dibuai mimpi. Wajah ibu seperti berbicara sendiri walaupun mimik mukanya tenang namun jelas kepenatan dan keletihan seorang ibu. "Kesian ibu", detik hati.

Fikiran mula menari-nari di atas pentas teater minda. Terlalu banyak pengorbanan ibu dapat diekstrek daripada pemerhatian. Tatkala jam menunjukkan angka 4 pada waktu pagi yang sunyi, ibu sudahpun berada di dapur, memasak sarapan buat anak-anak yang sebentar lagi akan bergegas ke sekolah dan kerja, tidak ketinggalan juga buat suami tercinta. Bekalan makanan setiap isi rumah juga diambil kira, disiapkan satu per satu lalu dibungkus molek kerana ibu yakin makanan yang disediakan oleh ibu adalah makanan paling berkhasiat buat insan tersayang.

Jam 7 pagi, seorang demi seorang isi rumah keluar dengan urusan masing masing. Kini, hanya tinggal berdua dengan ibu sementara cuti masih berbaki. Oleh yang demikian, dapat dilihat agenda ibu seterusya. Setelah selasai urusan dengan anak-anak, ibu cepat-cepat kembali ke dapur bagi menguruskan keadaan yang kacau bilau kesan penyediaan sarapan sebentar tadi. Kemudian, ibu belari ke atas, ke bawah, ke depan, ke belakang bagi membersihkan rumah. Setiap penjuru dan sudut rumah disapu dan dibersihkan. Ibu terduduk di atas sofa di ruang tamu sambil mendengus kecil. Ibu terpandang susuk tubuh yang dari tadi seperti memerhatikannya namun tidak diendahkan lalu kembali menyambung kerja rumahnya.

Matahari sudah semakin menampakkan dirinya, lantas ibu bangun dan berjalan tenang ke dapur bagi menguruskan perihal mesin basuh pula. Sementara itu,  pakaian-pakaian yang bertaburan di setiap bilik teruna tidak ketinggalan juga dara dikutip ibu. Terbongkok-bongkok ibu mencapainya. Apabila tiba di dapur, dikeluarkan kain-kain daripada mesin basuh, dipindahkan ke dalam raga. Kain-kain tersebut disidai rapi di atas ampaian bersebelahan dengan kebun kecil ibu.

Walaupun ibu hanya seorang suri rumah tangga, namun tidak sepenuh masa. Ibu menjalankan perniagaan atas talian dan menyediakan perkhidmatan tempahan makanan. Ibu menyemak buku catatan hariannya bagi melihat senarai tempahan sepanjang minggu ini. Nampaknya seperti pelanggan ibu ada memesan tempahan pada hari ini kerana ibu bergegas ke peti sejuk dan mengeluarkan satu per satu isi perut lembaga petak itu. Bahan-bahan mentah itu di bawa ke dapur. Beberapa minit kemudian, bunyi periuk belanga dan sudip kedengaran rancak berlaga sesama sendiri. Melihat ibu dari atas, bibir mengukir senyuman sendiri sambil berdoa "Semoga ibu berjaya dalam perniagaanya dan dikurniakan kudrat yang sihat bagi meneruskan perjuangan kecilnya".

Apabila pulangnya kembali isi rumah pada pukul 7 malam, makanan sudah terhidang di meja makan. Enak nampaknya! Selesai menunaikan solat fardhu bersama, masing-masing menyerbu meja makan kerana perut sudahpun minta diisi. Selesai makan malam, ibu akan memastikan adik-adik menyiapkan setiap kerja sekolah dan mengulangkaji pelajaran. Sebelum jam menunjukkan jam 11, hampir semua isi rumah sudahpun baring di atas katil empuk di bilik masing-masing. Ibu akan menjenguk setiap bilik anak-anaknya sebelum ibu pula yang masuk ke kamar tidurnya.

Begitulah rutin ibu hampir setiap hari. Masa seperti memakan diri sendiri. Terlalu cepat berlalu sehinggakan mengah ibu melaluinya hari-harinya. Hati mula mengukir catatan sendiri. Hebat sungguh ibu. Hampir menyamai peratusan kesempurnaan seorang ibu. Mampukah aku menjadi seperti ibu suatu hari nanti? Mampukah aku bertindak secara total seperti ibu? Atau aku akan mudah lelah dan mengeluh?

Jasa ibu tidak mungkin terbalas dengan segunung emas sekalipun kerana pengorbanannya tidak terkira dengan wang ringgit. Menjadi tanggungjawab anak-anak untuk turut sama meringankan beban ibu menguruskan hal ehwal rumah tangga seperti membasuh baju, memasak dan seumpanya. Sekurang-kurang terlepas satu ikatan kepenatan ibu setiap hari. Tambahan pula, menjadi obligasi anak-anak untuk membahagiakan ibu dengan apa cara sekalipun selagi tidak dilarang agama. Beringatlah, ibu ini pinjaman Allah buat kita. Bila-bila sahaja Tuhan akan mengambilnya kembali. Sementara nafas masih terasa, berbaktilah kepada ibu dan jangan sesekali menyakiti hatinya sekalipun dengan bermasam muka, melawan kata ataupun meninggi suara.


Salam sayang buat bonda tercinta


No comments:

Post a Comment